Library News

Bicarawara Strategi Siri 1/2025

Bicarawara Strategi Siri 1/2025: Peranan Perpustakaan dalam Mengarusperdanakan Inisiatif Penyelidikan dan Penerbitan di UiTM

20 Februari 2025 | 21 Syaaban 1446H

SHAH ALAM – Perpustakaan memainkan peranan yang signifikan sebagai pusat rujukan ilmu dan inovasi, sebagaimana yang dibincangkan dalam Bicarawara Strategi Siri 1/2025 yang dianjurkan oleh Pejabat Transformasi Universiti dengan kerjasama Pejabat Komunikasi Strategik. Program ini berlangsung di Strategy War Room, Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, pada pagi tadi.

Sesi diskusi selama hampir dua jam ini dipengerusikan oleh Dr Mohd Ridwan Seman @ Kamarulzaman, Ketua Pengurusan Maklumat & Data Analitik, Pejabat Transformasi Universiti. Perbincangan ini mengetengahkan pengalaman Perpustakaan UiTM dalam pengurusan pengetahuan serta strategi dan inisiatif yang diterapkan bagi menyokong aktiviti penyelidikan dan penerbitan akademik.

Perbincangan turut meneliti cabaran serta peluang dalam memperkasakan perpustakaan sebagai pusat intelektual yang berperanan menjana idea serta inovasi yang relevan dengan perkembangan semasa. Salah satu aspek utama yang dibangkitkan ialah bagaimana perpustakaan dapat terus berkembang sebagai institusi kalis zaman dalam menghadapi perubahan teknologi serta keperluan akademik yang semakin dinamik.

Dalam konteks ini, konsep perpustakaan dalam perkembangan tamadun turut disentuh berdasarkan karya Perpustakaan dan Perkembangan Tamadun oleh Syed Hussein Alatas. Karya ini menegaskan bahawa perpustakaan bukan sekadar menjadi pusat penyimpanan bahan bacaan, malah berfungsi sebagai pusat pemikiran kritis yang mampu mencorak hala tuju dunia.

Panel Jemputan Khas:
Ts. Haji Azizi Haji Jantan
Ketua Pustakawan, Jabatan Perpustakaan, Universiti Teknologi MARA

Moderator:
Dr Mohd Ridwan Seman @ Kamarulzaman
Ketua Pengurusan Maklumat & Data Analitik, Pejabat Transformasi Universiti

Sesi bicarawara ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat penyelidikan dan inovasi, sejajar dengan aspirasi UiTM untuk menerajui bidang pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat global.

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.